TIADA lebih membahagiakan bagi seorang suami melainkan memanjatkan
rasa kesyukuran dan bertuahnya mereka apabila dikurniakan seorang isteri
yang bijak, solehah, bersederhana serta mempunyai watak menarik.Ia dikira ‘pakej lengkap’ bagi seorang wanita selepas sifat
kesempurnaan seorang isteri itu subur dalam diri mereka. Dalam melayari
kehidupan rumah tangga pasangan suami isteri perlu memiliki kekuatan
mental dan fizikal.
Mereka perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran asas rumah tangga
dan meminta pandangan dan nasihat daripada golongan berpengalaman
seperti ibu bapa mereka.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Wanita yang solehah ialah yang
taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta
memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana
Allah telah memelihara mereka…” (Surah An-Nisa’ ayat 34)
Ketaatan isteri kepada suaminya memudahkan mereka mendapat syurga
Allah s.w.t di akhirat kelak kerana ketaatan terhadap suami menjadi
ukuran kepada keredaan-Nya.
Diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam Israk Baginda di mana
kebanyakan penghuni neraka adalah kaum wanita iaitu termasuk wanita
derhaka kepada perintah Allah s.w.t dan suaminya.
Isteri yang taat dapat dinilai melalui bicaranya yang memperlihatkan
kelembutan dan kesopanan, mereka juga tidak sesekali memerintah
suaminya, berdiam diri ketika suami sedang berkata-kata, apabila suami
masuk atau keluar rumah mereka menyambut suami dengan penuh mesra,
sentiasa menghormati keluarga suami, bersyukur dengan apa yang
disediakan suami serta tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami.
Bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak berlaku dalam
semua perkara. Sekiranya perintah suami itu menjurus kepada dosa dan
kemaksiatan isteri dibenarkan membantah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jika diizinkan seorang
manusia sujud kepada manusia tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud
kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki ke atas
wanita.”
Berhias untuk suami juga penting dalam mengekalkan keharmonian hidup
suami isteri. Namun isteri hanya boleh memperlihatkan perhiasan hanya
buat suami mereka saja.Ia bertujuan untuk menjadikan suami mereka terhibur. Bayangkan jika
suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih namun apabila melihat
muka isteri berseri-seri pasti akan menimbulkan suasana tenang kepada
suami.Keletihan mencari rezeki akan menjadi hilang malah membangkitkan lagi
perasaan kasih sayang terhadap isterinya.
Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud: “Dari Jabir ra. Dia berkata: ‘Kami pernah pergi
bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke
Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing. Maka Rasulullah s.a.w
bersabda: ‘Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas
Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia
dapat berhias kerana lama ditinggalkan suaminya.’”
Selain itu, hubungan intim juga antara penyumbang kepada kebahagiaan
sebuah rumah tangga. Sebab itu, isteri perlu memberi layanan yang baik
kepada suami dan tidak boleh menolak kemahuannya.
Terdapat banyak kes membabitkan pasangan yang tidak berpuas hati
dengan layanan yang diberikan sehingga sampai ‘berperang besar.’
Perkara sedemikian perlu dielakkan kerana ia mencetuskan suasana tegang antara pasangan.
Isteri hanya boleh menolak permintaan suami dalam keadaan tertentu
seperti dalam keadaan sakit atau dalam keadaan dilarang syarak untuk
melakukan persetubuhan seperti dalam keadaan haid.
Kemuliaan dan ketaatan isteri di mata suami akan lebih terserlah
apabila mereka mampu menjadi teman berunding apabila suami menghadapi
masalah.
Isteri perlu tahu ketaatan mereka kepada suami adalah perintah
daripada Allah s.w.t. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia
tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada
nusyuz.
Ulama asy-Syafi’eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar
dari melakukan ketaatan yang wajib terhadap suaminya. Antara perkara
yang menunjukkan isteri nusyuz terhadap suaminya ialah keluar rumah
tanpa keizinan suami.
Fuqaha bersepakat mengatakan haram hukumnya seorang isteri yang
nusyuz terhadap suaminya. Mereka dilaknat selagi mana tidak melakukan
taubat.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata Rasulullah
bersabda yang bermaksud: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat
tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat
melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat
al-Bukhari)
Islam meletakkan beberapa tindakan dalam menangani masalah isteri
nusyuz antaranya ketika nampak tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan
perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling atau isteri
menjawab percakapan suaminya dengan suara kasar maka sunat ke atas suami
memberi nasihat.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan yang
kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati
mereka.” (Surah an-Nisa: 34)
Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w
bersabda yang bermaksud: “Nasihatilah kaum wanita secara baik kerana
wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk
yang paling bengkok adalah yang berada di bahagian yang paling atas.
Jika engkau meluruskannya bererti engkau mematahkannya; dan jika engkau
membiarkannya maka dia akan tetap bengkok. Oleh itu, nasihatilah kaum
wanita secara baik.” (Hadis riwayat Al-Bukhari no. 3331 dan Muslim no.
1468)
Justeru buat isteri, rebutlah peluang mudah jalan menuju ke syurga
dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah serta mentaati suami.
Perunding motivasi dan penceramah, Human Touch Consultant, Datuk Mohd
Zawawi Yusoh, berkata isu yang dikaitkan dengan Kelab Isteri Taat
mempunyai misi tersurat dan tersirat.
“Matlamat mereka adalah untuk mengajak golongan isteri supaya berpoligami.
“Ia sebenarnya tidak perlu diperbesar-besarkan kerana isu yang lebih
penting ialah memberi fokus bagaimana untuk menjana pendapatan golongan
janda, keruntuhan rumah tangga serta memperbaiki kelemahan diri
sendiri,” katanya.
Beliau berkata poligami sebenarnya adalah untuk mereka yang
berkemampuan dan boleh memberi keadilan kepada setiap wanita yang
dinikahinya.
“Hanya lelaki yang benar-benar boleh berlaku adil dan berkemampuan
untuk menyara kehidupan anak dan isteri boleh berkahwin lebih daripada
satu berdasarkan hukum syarak.
“Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 3 yang bermaksud: “Maka
kahwinilah perempuan-perempuan yang baik bagimu, dua, tiga atau empat
orang. Tetapi jika kamu takut bahawa tidak akan berlaku adil, maka
kahwinilah seorang saja atau hamba sahaya yang demikian itu lebih dekat
kepada tidak teraniaya.”
“Apa yang kita tidak mahu ialah jika ada yang mengambil kesempatan
dengan kekurangan yang dimiliki namun mempunyai impian untuk
mempraktikkan poligami. Dalam Islam kita ‘takut’ isteri kerana bimbang
tidak dapat berlaku adil sesama mereka,” katanya.
Mohd Zawawi berkata dalam perkahwinan, malah poligami sekalipun
matlamatnya bukan nafsu seks semata-mata kerana semua itu bersifat
sementara.
“Nafsu manusia ini sebenarnya tidak pernah ‘kenyang’. Semua orang
mesti ingat bahawa sebab utama poligami ialah untuk keadilan, ketaatan
dan akidah.
“Ramai yang menyatakan tujuan mereka berpoligami adalah untuk
mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah s.a.w sebenarnya
berpoligami atas sebab syarak. Pokok pangkalnya, hanya akidah yang mampu
menyelesaikan nafsu tidak terbatas,” katanya.
Beliau berkata suami boleh guna kaedah poligami atas sebab terdapat
masalah kesihatan atau keturunan yang membabitkan pihak isteri.
“Wajib berpoligami jika bimbang suami akan terjerumus ke dalam kancah
maksiat. Maka poligami menjadi penyelesai masalah terutama berkaitan
kesihatan dan keturunan yang menjadikan kehidupan itu lebih harmonis,”
katanya.
credit to http://www.harian-metro-online.com
No comments:
Post a Comment