|
My Daddy tersayang |
"Ayah! Cepatlah! Thariq dah lambat nak pergi sekolah ni!" Masam mencuka wajah Thariq di depan pintu menunggu ayahnya yang sedang menyiapkan bekalan sekolah untuknya.
"Kejaplah. Ayah tengah nak letak nasi goreng dalam bekas ni." Ayahnya cepat-cepat mencapai penutup bekas makanan. Sedikit keluhan dilepaskan.
"Dah. Jom. Nanti lambat pulak nak ke sekolah." Ujar Arman
kepada anaknya yang menunggu di depan pintu sambil menghulurkan beg
sekolah anaknya. Sedikit senyuman dihadiahkan buat Thariq dengan harapan
mampu menyejukkan kemarahan hati si kecil itu.
"Alah, kalau lambat pun sebab ayahlah. Tak payah nak tapau
makanan pun. Thariq boleh beli kat kantin la ayah. Nanti lambat, Thariq
yang kena marah dengan cikgu, bukannya ayah!" Terkedu wajah Arman di muka pintu mendengar kata-kata anaknya.
Segera dia beristighfar. Bimbang hati lelakinya akan dicucuk-cucuk syaitan yang mungkin mengundang kemarahannya buat si anak.
Bagi Thariq, dia sengaja berkata begitu kepada ayahnya untuk
melepaskan kemarahan kerana semalam adalah hari jadinya. Namun, tiada
hadiah yang diberikan ayah kepadanya. Bahkan ucapan selamat hari
lahirpun tiada. Terkadang terasa bahawa ayahnya tidak langsung
menyayanginya.
Setelah sampai di hadapan sekolah, segera Thariq keluar dari pintu
kereta tanpa menyalami tangan Arman seperti biasa. Merajuk barangkali.
Sekadar menggelengkan kepala, Arman ingin segera beredar.
"Thariq!" Satu suara yang dikenalinya sayup-sayup
kedengaran. Faruqi melambai-lambai dari jauh. Tersengih-sengih Faruqi
menunjukkan giginya yang sedikit jarang.
"Eh Thariq. Jap lagi aku nak tengok kau punya praktikal Sains minggu lepas. Hehe.. Nak check betul atau tak aku punya ni."
"Sains? Eh, hari ni mana ada subjek Sains." Berkerut-kerut
dahi Thariq dengan pertanyaan Faruqi. Hatinya mula berdebar kerana dia
amat yakin yang buku itu ditinggalkan di rumah.
"Memanglah Sains takde. Tapi Cikgu Latifah kan suruh hantar buku tu hari ni. Jangan pulak kau kata tak bawak. Habislah kau." Kata Faruqi sekadar mengusik.
"Hah? Serius ke? Alamak! Aku memang tak bawak la. Macam mana ni? Aduh, mesti kena marah lagi." Thariq sudah menarik-narik tali lehernya. Terasa seakan tersesak nafasnya dek terlalu risau.
"Kau pergilah telefon ayah kau suruh pergi ambik jap. Bukannya jauh pun office ayah kau dengan rumah."
"Aku baru je lepas marah ayah. Nak ke ayah pergi ambik buku aku? Takpe lah. Cuba je dulu." Thariq berkira-kira dalam hati.
Terus dia menuju ke telefon awam yang berada di tepi pondok pengawal.
.....
Arman sudah sampai di parking lot pejabatnya. Dilihat jam di tangan sudah 7.50 pagi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
"Ayah! Thariq ni." Kedengaran suara anak kecilnya di talian. "Oh, Thariq. Kenapa nak?"
"Em.." Thariq sedikit teragak-agak.
"Ayah, Thariq tertinggal buku praktikal kat rumah. Kena hantar
hari ni. Kalau tak cikgu marah. Ayah tolong hantarkan, boleh tak? Buku
tu ada kat atas meja dalam bilik."
"Oh." Arman kembali melihat jam di tangan.
"Ok, jap lagi ayah hantarkan." Arman sudah serba salah.
Pagi ini dia perlu menemani ketuanya untuk bermesyuarat dengan
syarikat penaja pengiklanan untuk produk terbaru keluaran syarikatnya
yang bermula pukul 8.15 pagi. Tetapi yang pastinya dia tidak mahu anak
kesayangannya itu dimarahi guru. Biarlah dia yang berkorban sedikit buat
anak tunggalnya itu.
Seperti yang dijangka, Arman dimarahi ketuanya kerana terlambat ke
pejabat semula setelah menghantar buku Thariq. Dia tidak menceritakan
apa sebenarnya yang terjadi kerana sudah seringkali anaknya menjadi
sebab atas kelewatannya ke tempat kerja. Bagi Arman, kesalahan itu
memang terletak di atas bahunya sendiri kerana tidak pandai dalam
mengurus masa dan kehidupannya dengan baik.
"Siti, kalaulah awak masih di sisi abang." Tiba-tiba hatinya terasa sayu mengenangkan arwah isterinya.
Isterinya yang meninggal dunia kerana lemas ketika menyelamatkan
Thariq yang mandi di laut lima tahun yang lalu. Kejadian yang
benar-benar memberikan tamparan hebat buat dirinya.
Arman masih teringat bila mana dia yang ketika itu sedang berada di
Indonesia atas urusan kerja tiba-tiba mendapat panggilan telefon
daripada mertuanya. Satu panggilan yang benar-benar meluruhkan
jantungnya. Kehilangan seorang isteri tersayang.
"Sebab kaulah isteri aku mati!" terbayang di ingatannya saat
dia memarahi Thariq kerana tidak dapat menerima hakikat kematian
isterinya. Anak kecil yang baru berusia lima tahun yang masih tidak
dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku hanya meraung-raung di sisi
neneknya kerana dimarahi ayah.
Setelah peristiwa itu, setahun Thariq ditinggalkan di bawah penjagaan
mertuanya. Arman yang pergi membawa diri. Sehinggalah pada suatu hari
dia menerima berita bahawa anaknya demam panas.
Walaupun hatinya masih sakit, namun naluri kebapaannya masih kuat. Di
saat dia menatap wajah sugul anaknya yang mirip dengan arwah isterinya,
ego lelakinya runtuh. Dipeluknya Thariq sekuat hati.
"Maafkan ayah, nak. Ayah tak patut salahkan Thariq. Bukan salah Thariq." Teresak-esak
Arman melutut di sisi anaknya. Menyesali akan perbuatannya, Arman sudah
berjanji untuk menjaga Thariq sebaik mungkin dan melunaskan janjinya
buat arwah isterinya.
Janji yang dibuat saat Thariq dilahirkan ke dunia. Janji untuk
mendidik anak itu sebaik mungkin supaya menjadi buah amal di Akhirat
kelak.
Alhamdulillah, Allah S.W.T masih memberikan peluang kepadanya untuk
berusaha menjadi seorang ayah kepada Thariq. Walaupun terkadang kerenah
anaknya itu benar-benar mencabar kesabarannya, namun Arman seringkali
terkenangkan perbuatannya yang meninggalkan Thariq selama setahun dan
hanya menjenguknya beberapa kali.
"Mungkin ini adalah ujian yang Allah S.W.T berikan kepada aku
atas sebab perbuatan aku dulu. Dan semuanya sebab Allah S.W.T sayang
aku. Allah S.W.T nak peringatkan tentang kesilapan aku," kata-kata yang seringkali ditekankan Arman sebagai sebuah peringatan buat dirinya sendiri.
.....
Selesai Pendidikan Jasmani pada waktu pagi, Thariq masuk ke kelas
untuk menukar baju. Hanya beberapa orang rakannya berada dalam kelas
sedangkan yang lain masih berlegar-legar di kantin untuk mengisi tekak
yang kehausan. Apabila dibuka beg sekolahnya, matanya terpandang sebuah
bungkusan kecil yang dibalut kemas berada di dalam beg.
Dalam kehairanan, dia membuka bungkusan tersebut. Dia tersenyum riang
melihat seutas jam tangan yang diidam-idamnya selama ini berada di
dalam kotak itu dan sekeping kad terselit di dalamnya. Thariq membuka
kad tersebut.
Buat buah hati ayah yang tersayang,
Selamat hari lahir yang ke-10. Ayah minta maaf sebab
terlambat bagi hadiah ni pada Thariq. Ayah memang teringin untuk sambut
birthday Thariq semalam tapi ayah dah tertidur.
Thariq,
Ayah betul-betul nak minta maaf sebab tak mampu menjadi
ayah yang terbaik buat Thariq. Ayah tak mampu nak masak makanan
kegemaran Thariq sedap-sedap, ayah tak mampu nak siapkan baju sekolah
untuk Thariq pagi-pagi, ayah tak mampu nak luangkan masa untuk bermain
dengan Thariq setiap hari, ayah tak mampu nak tolong Thariq siapkan
kerja rumah, ayah tak mampu nak belikan semua barang mainan yang Thariq
minta. Banyak perkara yang tak mampu ayah buatkan untuk Thariq.
Mungkin sebab ayah hanyalah seorang ayah. Ayah tak mampu
menjadi sesempurna seorang ibu yang mampu memberikan kelembutan kasih
sayang yang lebih baik buat Thariq. Tapi ayah harapkan dalam kekurangan
ini, ayah mampu membuatkan Thariq bahagia seadanya. Dan ayah nak Thariq
tahu yang ayah benar-benar sayangkan Thariq. Setiap masa.
Ikhlas,
Ayah.
Basah pipi si anak kecil. "Ayah, maafkan Thariq." Ada
sedikit kekesalan di hati Thariq atas sikapnya pagi tadi. Jauh di sudut
hati, dia tidak sabar untuk pulang ke rumah hari ini. Ingin menemui ayah
yang tersayang.
.....
Kring!!! Loceng sekolah berbunyi.Tidak seperti biasa, Thariqlah orang pertama yang keluar dari kelasnya menuju ke pintu pagar.
Di bibirnya tersenyum riang apabila terbayang ayahnya menunggu di
dalam kereta dan sebuah pelukan erat ingin diberikan buat ayahnya. Bukan
atas penghargaan hadiah yang diberikan ayahnya semata-mata, tetapi
kerana pada saat ini, Thariq benar-benar ingin ucapkan sebuah kata-kata
yang tidak pernah diucapkannya buat ayah selama ini.
Kata-kata yang disimpan dek kerana hatinya yang dipenuhi pelbagai
prasangka buruk terhadap kasih sayang ayah kepadanya. Mungkin kerana
tamparan kisah silam yang masih tersimpan kemas dalam ingatannya.
Sampai di depan pintu pagar, masih belum nampak kelibat ayahnya.
Hatinya tiba-tiba terasa kurang enak. Ditepisnya pelbagai perasaan yang
bercampur baur dalam diri.
Ayah Faruqi sudah sampai dengan wajah yang agak cemas. Dia kelihatan
sedang menjelaskan sesuatu kepada Faruqi, perasaan ingin tahu Thariq
membuak-buak dalam hati.
"Thariq, kereta ayah kau Myvi hitam, kan?" tanya Faruqi.
Muka Thariq berubah.
"A'ah. Kenapa?" Thariq bertanya dengan perasaan berdebar-debar.
"Em.. ada kereta Myvi hitam accident kat depan simpang sana. Ayah aku nak patah balik pergi tengok. Kau nak ikut?"
Thariq seperti kehilangan nafas seketika. Jantungnya berdegup kencang. Tidak mampu bersuara, dia sekadar mengangguk.
Di simpang tiga itu kelihatan orang ramai sudah berkerumun. Sebuah
ambulan sudah berada di tempat kejadian dan kelihatan polis trafik
sedang mengawal lalu lintas yang mulai sesak.
Air mata Thariq kelihatan sudah mula menitik. Langkahnya kaku melihat kereta Myvi yang remuk itu.
"Ayah... Ayah!!" Thariq berlari menuju ke arah sebujur tubuh yang sudah ditutupi kain putih.
"Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Ayah! Jangan
tinggalkan Thariq sorang diri. Mak dah takde. Takkan ayah pun nak
tinggalkan Thariq jugak. Ayah!" Thariq meraung sambil tangannya memeluk erat tubuh yang sudah tidak bernyawa itu. Terasa gelap seketika dunianya.
"Thariq?" terasa bahunya disentuh lembut. Dengan pandangan
mata yang kabur disebabkan air mata yang berlinangan, Thariq memandang
ke belakang. Yang kelihatan satu susuk tubuh yang amat dikenalinya
memandangnya dengan pandangan kehairanan.
"Ayah!" dipeluk erat tubuh ayahnya. Arman hanya tercengang
kurang mengerti. Melihat sekeliling dan matanya terpandang sebuah Myvi
hitam yang remuk teruk tersadai di tepi jalan. Barulah dia mengerti apa
yang sebenarnya terjadi.
"Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Thariq mintak maaf
sebab kasar dengan ayah pagi tadi. Jangan tinggalkan Thariq lagi, ayah,"
Teresak-esak Thariq memeluk ayahnya. Dalam hati, sejuta kesyukuran
bertandang apabila menyedari ayahnya masih di sisi. Arman tersenyum
memandang anaknya.
Perasaan gelisah bila melihat anaknya tiada di depan pintu pagar
sekolah benar-benar terubat kini. Jika tidak kerana pengawal sekolah
yang memberitahunya bahawa Thariq telah pulang bersama Faruqi, mungkin
dia telah hilang arah untuk mencari anaknya yang tiada di sekolah.
.....
Jam sudah menunjukkan angka sebelas malam. Arman bersiap-siap untuk
tidur. Pakaiannya dan Thariq sudah siap digosok. Bimbang jika esok
terlewat bangun lagi. Di fikirannya sedang berkira-kira sarapan apa yang
ingin disiapkan buat anaknya.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk perlahan.
"Ayah, boleh Thariq tidur dengan ayah?" Ujar Thariq teragak-agak sambil tangannya memegang bantal busuk Doraemonnya.
Arman tersenyum. Hatinya terasa bersyukur dengan perubahan sikap Thariq yang tiba-tiba.
Adakah kejadian hari ini benar-benar terkesan di hati anaknya?
Thariq naik ke katil lantas meletakkan kepalanya di bantal sebelah ayahnya.
"Selamat malam Thariq. Jangan lupa baca doa tidur," Arman tersenyum sambil menutup lampu.
"Selamat malam ayah. Thariq sayang ayah." Arman terkedu
dalam kegelapan. Kata-kata yang dinanti-nantikan selama ini. Kata-kata
yang benar-benar dirindui untuk didengari oleh Arman.
Setitis air mata mengalir ke pipinya.
"InsyaAllah, esok Tuhan pasti menjanjikan hari yang lebih baik buat kita berdua." Bisik Arman dalam hatinya.
"Dan
Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan
hendaklah berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang di antara
keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu,
maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan
"ah" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada
keduanya perkataan yang baik." (Al-Isra':23)
Nota: Hargailah kedua ibubapa yang masih berada di sisi.
Kerana kita tidak akan pernah tahu apa yang bakal menanti pada esok
hari.
credit to iluvislam.com